Cerpen pertama aku.. Hahaha..

Kasih…

Hujan di luar masih belum berhenti. Ika menarik kembali selimut yang hampir terjatuh ke lantai dan cuba memejamkan matanya namun tidak berjaya. Fikirannya masih terbayang-bayang tentang peristiwa yang berlaku siang tadi di dalam rumahnya. Adegan pergaduhan antara ibunya dengan Cikgu Kamal masih berada di kotak fikiran. Ika masih keliru dan tertanya-tanya mengapa ibunya begitu membenci Cikgu Kamal?
“Assalamualaikum semua. Nama saya Mohd Kamal bin Sufian. Anda semua boleh panggil saya Cikgu Kamal. Kedatangan saya petang ini adalah untuk melatih kamu semua dalam permainan bola tampar. Kalau kamu semua ada apa-apa pertanyaan, kamu bolehlah jumpa saya di bilik guru ketika waktu rehat ya.”kata Cikgu Kamal
Itulah pertemuan pertama Ika dengan Cikgu Kamal ketika menjalani latihan bola tampar sekolahnya.
“Ika! Mari ke sini sekejap” panggil Cikgu Kamal di pintu kelas.
“Iya cikgu, ada apa panggil saya cikgu? Macam ada apa-apa yang best jek cikgu.” gurau Ika kepada cikgunya itu.
“Ika, waktu rehat nanti cikgu nak jumpa awak di bilik guru ya. Panggil Hanim, Ida dan Wati sekali. Cikgu ada perkara penting nak beritahu awak semua”
“Baik cikgu” ujar Ika sambil tersenyum mesra.
Semenjak hari pertama Ika kenal dengan Cikgu Kamal, Ika berasa seperti sudah lama kenal dengan Cikgu Kamal. Setiap kali berselisih atau berbincang dengan cikgunya itu, Ika pasti melonjak kegembiraan. Dia sendiri tidak pasti mengapakah perasaan sebegitu muncul tatkala bertemu dengan Cikgu Kamal. Tapi yang pasti, cikgunya itu mempunyai sikap penyayang, mengambil berat dan pandai mengambil hati.
“Ika, cikgu rasa kamu mempunyai bakat besar dalam permainan bola tampar. Jadi, cikgu pilih kamu untuk menjadi ketua pasukan bola tampar sekolah kita ini. Kamu setuju?”
“Emmm…errr.. biar betul cikgu. Tapi…” kata Ika.
“Tak ada tapi-tapi lagi. Cikgu dah pilih kamu. Jadi, kamu mesti mengambil peluang ini dengan sebaiknya dan menganggap ini amanah serta kepercayaan yang cikgu berikan kepada kamu.” ujar Cikgu Kamal.
“Kalau begitu, baiklah cikgu. Saya akan berusaha sebaik mungkin dan cuba menaikkan nama sekolah kita cikgu!” ujar Ika kepada cikgunya dengan penuh semangat.
Hati Ika berbunga riang tatkala teringat kata-kata gurunya itu tadi. Ika pulang ke kelas dengan wajah tersenyum simpul. Selepas itu, Ika pulang ke kelas dengan wajah kegembiraan.
“Hai… anak kesayangan Cikgu Kamal dah balik. Tersenyum-senyum kambing lagi. Hahahah...” kata Nadia, sengaja mengacau teman baiknya itu.
“Hello… Sory sikit eh. Dia tu jurulatih bola tampar aku. Tak lebih dan tak kurang ok…!” Ika menyampuk mempertahankan dirinya.
Gurauan kawan-kawannya di dalam kelas tadi tidak sedikit pun mengurangkan perasaan gembira di hati Ika. Bahkan, dia bertambah ceria dengan usikan nakal kawannya itu. Hatinya dibuai rasa gembira sepanjang sesi persekolahan hari itu.
“Ika! Berapa kali ibu nak cakap, jangan rapat dengan Cikgu Kamal tu. Ibu tak suka.” Tengking ibunya ketika mendapat tahu Ika pergi keluar bersama Cikgu Kamal ke kedai buku petang tadi.
“Ika tu memang macam tu ibu. Suka cari pasal. Adik tak tahu ke ibu tak suka dengan Cikgu Kamal dari dulu lagi. Adik tak faham?” bebelan kakaknya menambah lagi kesedihan hatinya petang itu.
“Kenapa dengan ibu dengan kakak ni? Kenapa tak suka dengan Cikgu Kamal? Dia kan baik, penyayang, bertanggungjawab dan Ika suka dengan dia. Kalau ibu dengan kakak tak suka dengan dia, diam-diam jela!” marah Ika.
“Oohh… dah pandai menjawab ya dengan ibu. Sejak bila pandai macam ni? Tengok, sebab ni la ibu tak suka Ika kawan dengan Cikgu Kamal!” jawab Ibu dalam nada marah.
Air mata Ika mengalir sayu. Dia tidak mengerti mengapa perkara sebegini harus terjadi. Berdosakah dia rapat dengan cikgunya itu? Atau adakah hubungan yang terjalin mesra antara dia dan gurunya itu mengganggu pelajarannya? Tapi yang pasti, semacam ada satu rahsia yang cuba disorokkan oleh ibunya tentang Cikgu Kamal.
“Selamat pagi cikgu!” sapa Ika kepada guru kesayangannya itu.
“Selamat pagi Ika” balas Cikgu Kamal.
“Ika dah sarapan pagi? tanya Cikgu Kamal.
“Belum lagi cikgu. Tadi tak sempat nak sarapan sebab terlewat bangun sikit.” ujar Ika.
“Emmm.. kalau gitu, jom temankan cikgu sarapan? Nak? Cikgu belanja.” pelawa Cikgu Kamal.
“Takpelah cikgu. Terima kasih. Ika tak lapar lagilah” Ika cuba mengelak.
“Kalau begitu, tak apalah. Maaf mengganggu.” Balas Cikgu Kamal.
Ika memandang Cikgu Kamal dengan penuh sayu. Dia bukan tak mahu menemankan cikgunya itu,tetapi peristiwa semalam masih berbekas di hatinya. Dia masih tidak mengerti mengapa ibunya begitu membenci Cikgu Kamal. Bunyi loceng berdering mengejutkan hati Ika yang sedang mengelamun.
Sewaktu di dalam kelas, Ika tidak dapat menumpukan pelajarannya kerana asyik terbayang peristiwa semalam. Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa ibunya tidak suka dia berkawan dengan Cikgu Kamal.
“Ika! Awak berangan eh?” jerit Cikgu Azreen,guru Matematiknya.
“Haa? Apa dia cikgu?” Ika terpinga-pinga.
“Tu la. Masa cikgu ajar, awak berangan. Sudah! Jangan berangan lagi.” marah Cikgu Azreen.
Hari persekolahan Ika pada hari ini serba tidak kena. Sejak dimarahi ibunya tadi malam, dia menjadi tidak keruan. Rasa bersalah mula menjelma ke dalam hatinya. Dia sedar, ibunya banyak berkorban membesarkan dia sejak lahir lagi. Dia dijaga dengan penuh kasih sayang. Ibunya seorang ibu tunggal yang tabah mengharungi kepayahan hidup sebagai ibu dan bapa kepada dua orang anaknya. Ayahnya sudah meninggal dunia ketika ika masih di dalam kandungan, kata ibunya. Tetapi, yang menjadi persoalan, apabila ditanya mengenai di mana kubur ayahnya, ibunya hanya mendiamkan diri.
Petang itu, semasa di rumah, Ika hanya memasamkan muka tanda protes. Dia mahu ibu dan kakaknya tahu yang dia sedang merajuk. Usahanya itu berjaya apabila ibunya cuba memujuknya ketika sedang minum petang bersama.
“Ala... Ibu minta maaf eh. Ibu tak patut marah anak ibu macam tu semalam. Ibu salah.. “ ibu cuba memujuk.
“Emm.. ok. Tapi Ika nak tahu dari ibu, kenapa ibu tak suka Ika rapat dengan Cikgu Kamal? Dia kan baik.”
“Ibu bukan tak suka Ika rapat dengan Cikgu Kamal, cuma ibu risau, pelajaran anak ibu terganggu dengan aktiviti sukan, itu sahaja.”
“Ok.” Jawab Ika ringkas lalu bangkit dari kerusi lalu menuju ke biliknya.
Jawapan yang keluar daripada mulut ibunya petang itu masih tidak dapat memuaskan hatinya. Dia bertekad untuk mengetahui sebab sebenar mengapa ibunya membenci Cikgu Kamal.
Hari berganti hari, cepat benar masa berlalu. Selepas membantu pasukan bola tampar sekolahnya menjadi juara, nama Ika disebut-sebut di sekolahnya. Nama Nur Syafiqah dan Cikgu Kamal menjadi bahan bualan para pelajar dan guru di sekolahnya. Ramai mengatakan aksi hebat Ika ketika di gelanggang serta kehandalan Cikgu Kamal memimpin pasukan bola tampar sekolahnya adalah punca kepada kejayaan ini.
“Kejayaan sekolah kita adalah kejayaan kita semua. Hasil titik peluh kita sebelum bertanding telah membuahkan hasil yang kita nikmati sekarang. Anda semua haruslah mencontohi sikap dan usaha Nur Syafiqah ketika berusaha menaikkan nama sekolah.” ucap Pengetua sekolah Ika ketika di perhimpunan.
Hati Ika mula menerbitkan rasa bangga. Kata-kata pujian dari mulut seorang Pengetua sekolahnya menambah kegembiraan hatinya.
Walau bagaimanapun, jika di sekolah orang asyik berbicara tentang kejayaan dan kehebatan Ika, lain pula keadaannya di rumah. Tiada pujian atau ucapan tahniah keluar dari mulut ibunya. Sikap ibunya yang tidak mengambil tahu tentang kejayaan anaknya membuatkan hati Ika terluka. Namun, luka di hati Ika terubat apabila dia terpilih untuk bermain mewakili pasukan bola tampar peringkat negeri.
“Ibu tak benarkan Ika pergi!’ bantah ibu.
“Tapi kenapa ibu?. Kan bagus kalau kita dapat mewakili negeri dalam sukan. Nak masuk universiti pun senang.” ujar Ika.
“Ibu kata tak boleh, tak bolehlah! Kenapa Ika degil sangat ni!” tegas ibu.
Airmata Ika akhirnya tertumpah setelah sekian lama menahannya daripada keluar. Hanya Comel, kucing kesayangannya menjadi penawar kedukaan dan tempat dia mencurah perasaannya yang sedang diselubungi kekecewaan.
Namun begitu, dia bertekad untuk tetap menerima tawaran mewakili pasukan bola tampar negeri secara senyap-senyap. Perkara ini dirahsiakan daripada pengetahuan Cikgu Kamal.
Kesemua rancangan Ika akhirnya diketahui oleh ibunya. Akan tetapi, ibunya hanya mendiamkan diri dan hanya mahu berbincang dengan Cikgu Kamal tentang hal ini. Dalam senyap, ibunya telah mengatur pertemuan dengan Cikgu Kamal di suatu tempat.
“Cikgu! Kenapa dengan cikgu ni...? Cikgu tak ada pelajar lain ke nak cikgu ajar? Kenapa mesti anak saya yang cikgu nak ganggu? marah ibu.
“Puan, Puan mesti faham. Anak Puan mempunyai bakat besar dalam permainan bola tampat. Tak salah anak Puan untuk berusaha sehingga berjaya di dalam sukan ini.” ujar Cikgu Kamal dalam nada sayu.
“Tapi peperikaan sudah nak dekat. Kalau dia asyik dengan sukan sahaja, macam mana dia nak tumpukan pelajaran? kata ibu.
“Puan, Ika seorang pelajar yang berdisiplin. Saya rasa dia tahu bagaimana hendak membahagikan masa antara pelajaran dengan sukan. Insyaallah, dia akan berjaya di dalam kedua-dua bidang tersebut.” terang Cikgu Kamal.
“Ahhh! Saya tak suka anak saya terlibat dengan sukan.” jerit ibu.
“Tapi Puan…”
“Saya kata tak suka, tak suka lah. Awak tak faham ke? Sudah! Saya dah malas nak cakap dengan awak.” bentak ibu.
Peristiwa tersebut tidak disedari oleh Ika. Namun, tindakan ibunya itu seperti ada sesuatu yang tersembunyi dan cuba dirahsiakan daripada pengetahuan Ika.
Keesokan harinya, Ika terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan Cikgu Kamal. Cikgunya itu tidak seceria dan bersemangat seperti hari-hari biasa. Wajahnya yang sedikit muram membuatkan hati Ika tertanya-tanya.
“Cikgu!” jerit Ika.
“Iya? Ada apa Ika panggil cikgu ni?” tanya Cikgu Kamal.
“Cikgu, kenapa hari ini cikgu muram sahaja? Gaduh dengan isteri eh? Hihihi..”
“Emm… tak ada apa-apalah. Biasa sahaja.” jawab cikgu Kamal.
“Kalau cikgu ada apa-apa masalah, cerita la kat saya, mana tahu saya boleh bantu walaupun sedikit.” ujar Ika.
“Tak ada apa-apa la Ika. Cikgu ok sahaja. Sudah la, baik Ika masuk kelas sekarang, nanti terlambat pula.”
“Emm… baiklah cikgu.” Jawab Ika dalam nada kecewa.
“Eh.. Ika, cikgu terlupa sesuatu la. Ika setuju tak nak menjadi pemain peringkat negeri?”
“Oh! Pasal tu eh cikgu. Of course saya setuju cikgu.” jawab Ika keriangan.
“Ok. Tapi pelajaran Ika jangan diabaikan tau.” ujar Cikgu Kamal.
“Baik cikgu. Oklah, saya nak masuk ke kelas dululah. Bye cikgu!” balas Ika sambil melambai tangan.
Ika membelek-belek surat tawaran yang baharu diterimanya tadi. Surat tawaran memasuki Sekolah Sukan Bandar Penawar baru sahaja habis dibaca. Perasaan bimbang mula hadir ke dalam dirinya, bimbang ibunya memaksa menerima tawaran tersebut. Tiba-tiba, pintu bilik dibuka. Cepat-cepat Ika mengemas surat itu ke sampul asalnya.
“Eh,ibu. Ingatkan sapa tadi. Buat Ika terkejut sahaja.” ujar Ika.
“Ika, tadi Ika baca surat apa?” tanya ibu.
“Haa? Emm… Ibu nampak ke?” keluh Ika sambil menundukkan kepalanya.
“Ala… ibu dah nampak. Tak payah la Ika nak sorok-sorok dari Ibu. Bagi Ibu tengok.”
“Emmm…”
Ibunya membaca surat itu dengan penuh minat. Dari riak mukanya, terpancar riak kegembiraan. Ika hanya mampu tertunduk sedih. Dia tahu, pasti ibunya menyuruhnya menerima tawaran tersebut. Tapi, bagi dirinya, sekolah berasrama hanyalah sebuah sekolah yang mengongkong kebebasan dan pergerakan dirinya. Dia lebih suka hidup bebas tanpa sebarang kongkongan dan peraturan-peraturan yang menyakitkan hati seperti kehidupan di asrama.
Malam itu, Ika tidak dapat tidur lena. Mata kecilnya cuba dipejam tetapi tidak berjaya juga. Puas dia pusing ke kiri ke kanan untuk melelapkan mata, tapi gagal. Fikirannya asyik terfikir tentang surat tawaran sekolah berasrama penuh itu. Dia yakin, pasti ibunya menyuruh dia memasuki sekolah berasrama itu. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran itu. Keputusannya adalah muktamad, dia tetap tidak mahu menerima tawaran tersebut walaupun dipaksa ibunya.
Sedar-sedar, matahari telah memancarkan sinarnya. Selepas bersiap-siap untuk ke sekolah, Ika pergi ke ruang meja makan untuk bersarapan bersama ibu dan kakaknya.
“Ika… anak ibu mesti tahu kan apa yang ibu nak cakap pagi ni.” ibu memulakan perbualan.
“Apa dia ibu? Ika tak faham la.” jawab Ika.
“Ala anak ibu ni. Buat-buat tak faham pula. Pasal surat tawaran memasuki sekolah asrama tu la. Ibu rasa, ibu nak hantar anak ibu kat sekolah itu la.”
“Ika tak nak masuk sekolah tu.” Jawab Ika dalam nada biasa.
“Ika! Kan sekolah tu bagus. Sekurang-kurangnya, masa belajar ika denga nmasa bersukan lebih teratur dan seimbang. Bukan macam sekolah Ika tu.”
“Bukan macam sekolah Ika? Habis, sekolah Ika tu tak baguslah? Tak pandai bahagikan masa untuk pelajarnya? Ika rasa sekolah Ika tu bagus sahaja.”
“Bukan macam tu maksud ibu. Cuma kalau kat sekolah asrama tu, kemudahannya cukup, guru-gurunya lebih berpengalaman dan masa depan anak ibu lebih terjamin. Ibu nak anak ibu dapat belajar di tempat yang terbaik. Ibu nak anak ibu jadi orang yang berguna bila sudah besar nanti.” terang Ibu.
“Ibu nak suruh Ika masuk sekolah tu sebab ibu nak jauhkan Ika dari Cikgu Kamal kan? Terus terang sahaja ibu. Ika dah tahu dari awal lagi.” ujar Ika.
“Ika!”jerit ibu.
Ika terus menggalas beg sekolahnya lalu pergi ke sekolah tanpa memandang ibunya. Sikap Ika yang terus berlalu tanpa memandang ibunya membuatkan hati ibu remuk. Namun, di dalam hatinya tetap akan berusaha untuk memisahkan Ika daripada Cikgu Kamal. Itulah tekad hati ibu walaupun apa terjadi.
Semasa hendak pulang dari sekolah, Ika berjumpa dengan Cikgu Kamal di garaj kereta. Dia ingin meminta pendapat tentang tawaran yang diterimanya semalam. Mungkin pendapat orang yang lebih tua serta berpengalaman dapat membantunya menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Cikgu, saya nak minta pendapat cikgu sikit tentang tawaran memasuki sekolah berasrama yang saya dapat semalam.” Ika memulakan bicara.
“Ika dapat tawaran belajar di sekolah berasrama? Wah! Baguslah kalau begitu.” Ujar Cikgu Kamal.
“Masalahnya cikgu, saya tak nak pergi. Saya tak suka hidup kat asrama. Saya tak suka dikongkong dan pergerakan saya terbatas kalau tinggal di asrama. Tapi ibu saya paksa saya masuk sekolah tu. Macam mana ni cikgu…”
“Ohh… sebenarnya, sekolah berasrama tu ada baik ada buruknya. Terpulang pada seseorang sama ada mahu bersekolah di asrama atau tidak. Tanya diri sendiri, adakah dengan bersekolah di sekolah berasrama boleh menjadikan kita semakin maju dalam pelajaran atau sebaliknya. Kalau Ika rasa macam tu, Ika terimalah tawaran tu. Tapi kalau sebaliknya, Ika boleh tolak tawaran tu. Tepuk dada, tanya selera.” terang Cikgu Kamal.
“Kalau gitu, baiklah cikgu. Saya rasa saya dah dapat apa yang yang lebih baik untuk diri saya. Terima kasih cikgu! Saya balik dulu eh. Assalamualaikum.”
“Jaga diri elok-elok tau masa balik tu.”
“Ok cikgu.” Balas Ika dalam nada riang.
Tanpa disedari, rupa-rupanya, pertemuan Ika dengan Cikgu Kamal diperhatikan oleh ibunya dari jauh ketika menjemput Ika pulang. Rasa marah dan kecewa dalam hati ibu tidak dapat dibendung lagi apabila melihat anaknya berbual mesra dengan seorang cikgu yang cukup dibencinya itu.
“Oh..! Cikgu itu rupanya yang dah meracun pemikiran anak ibu ni. Patut la ibu tengok bukan main mesra anak ibu berbual dengan cikgu tu.”
“Ibu, apa yang ibu cakap ni? Tak baik cakap cikgu Ika macam tu.”
“Tak baik Ika cakap? Habis, dia yang buat anak ibu jadi macam ni, Ika kata tak baik?”
“Ibu! Kenapa dengan ibu ni? Tak habis-habis benci kat Cikgu Kamal tu. Apa dosa dia ibu sampai ibu benci kat dia?” tanya Ika.
“Oh… Ika cakap macam Ika lebih pentingkan cikgu tu jek daripada ibu. Agaknya cikgu tu lah yang ajar anak ibu macam ni!” perli ibu.
Ika tertunduk diam. Air matanya mula mengalir deras. Kata-kata ibu tadi telah mengguris hatinya. Dia menangis sepuas-puasnya sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Ibunya hanya mendiamkan diri sehinggalah sampai di rumah. Sampai sahaja di rumah, Ika terus masuk ke bilik. Pintu dikunci lalu merebahkan badan ke atas katil. Dia menangis sepuas-puasnya. Wajah Cikgu Kamal terbayang-bayang di dalam fikirannya. Dia semakin keliru dan tertanya-tanya mengapa ibunya begitu membenci Cikgu Kamal?
“Hei! Ni amaran dari saya. Kalau cikgu berjumpa dengan anak saya lagi, tahulah apa saya nak buat. Saya tak suka cikgu kacau anak saya. Faham!” ibu memberi amaran.
Ika tersentak apabila mendengar perbualan telefon antara ibunya dengan seseorang. Dia pasti, ibunya sedang bercakap dengan Cikgu Kamal. Hatinya bertambah pedih apabila mendengar kata-kata kesat keluar daripada mulut ibunya sendiri. Perasaan benci ibu terhadap Cikgu Kamal memang semakin menebal. Ika hanya mampu berserah agar perkara yang lebih buruk tidak akan terjadi antara ibunya dengan Cikgu Kamal.
Semenjak peristiwa tersebut, Ika tidak lagi serapat dan semesra dengan Cikgu Kamal seperti dahulu. Hubungan mereka masih seperti biasa tetapi jarang bersama. Hari berlalu bersilih ganti. Setiap petang, Ika akan pergi ke sekolah untuk membuat latihan dan persiapan untuk mewakili pasukan bola tampar negeri Johor. Cikgu Kamal juga terlibat dalam latihan itu dan bertindak sebagai penolong jurulatih. Walaupun hubungan mereka tidak disukai oleh ibu Ika, namun, dengan kehadiran Cikgu Kamal sebagai penolong jurulatih, hubungan mereka seperti biasa.
Sebagai seorang pelajar yang mengejar kejayaan dalam pelajaran, Ika tidak melupakan pelajaran. Bagi dia, walaupun aktif di dalam aktiviti kokurikulum, bidang kurikulum tidak harus dilupakan. Kedua-duanya mesti seimbang. Itulah pegangan hidup Ika agar cita-citanya menjadi seorang pakar pemakanan menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun, hubungan mereka akhirnya dapat dihidu oleh ibu Ika. Setiap petang, ibunya akan mengintai dari jauh untuk melihat Ika berlatih.
“Hei! Awak tak faham ke apa yang saya cakap hari tu? Awak tak faham bahasa ke?” soal ibu selamba.
“Puan, bawa bertenang puan. Ni kan sekolah. Nanti orang tengok, apa pula kata mereka nanti. Kalau ada masalah, kita bincang elok-elok. Setiap masalah, mesti ada jalan penyelesaiannya.” pujuk Cikgu Kamal.
“Peduli apa ni sekolah ke apa. Awak tu yang tak reti bahasa. Saya kan dah bagi amaran, jangan dekati anak saya lagi. Awak ni nak apa lagi haa?”
“Puan, Ika tu kan pelajar saya. Mestilah saya kena bagi perhatian pada dia. Itukan satu tanggungjawab saya sebagai seorang guru.” Jelas Cikgu Kamal.
“Apa? Tanggungjawab? Ke awak tu nak tebus balik dosa awak yang lepas tu?” jerit ibu.
“Emm...”
“Haa! Kan betul apa yang saya cakap. Awak tak payahla nak tebus dosa-dosa awak dulu tu. Saya dah maafkan dah. Tapi dengan syarat, awak jangan lagi ganggu hidup kami anak beranak. Faham!” marah ibu.
Ika yang ketika itu kebetulan melalui tempat perbualan antara ibu dengan Cikgu Kamal, terkedu apabila terdengar tuduhan ibu ke atas cikgunya itu. Dia terasa seperti Cikgu Kamal pernah kenal dengan ibunya pada masa dahulu. Dan, apakah maksud dosa yang dikatakan oleh ibunya tadi?
Selepas peristiwa tersebut, Ika bertekad untuk menyiasat apakah yang dimaksudkan oleh ibunya tadi. Dia juga ingin tahu siapakah yang sebenarnya Cikgu Kamal, cikgu yang begitu dibenci oleh ibunya.
“Ibu… tolonglah beritahu Ika, apa yang ibu cuba sorokkan tentang Cikgu Kamal daripada pengetahuan Ika. Ibu… tolonglah..” rayu Ika kepada ibunya.
“Yang Ika nak tahu sangat kenapa? Mana ada ibu sorokkan apa-apa daripada Ika!”ibu cuba berselindung.
“Habis tu, kenapa ibu benci dengan Cikgu Kamal? Mesti ibu ada sebabnya kan? Kenapa ibu?.”
Air mata Ika mula mengalir. Mengapa ibunya tidak mahu memberitahu tentang perkara sebenar? Kenapa begitu sukar untuk ibunya memberi tahu perkara tersebut? Ahhh… Baik aku tidur sahaja. Malas aku nak fikir lagi. Bisik hati kecil Ika. Sebelum Ika memejamkan matanya, dia terdengar satu perbualan telefon antara ibunya dengan Cikgu Kamal.
“Ika bukan lagi anak awak! Awak tak payah jumpa dia lagi. Faham!” jerit ibunya.
Terdengar gagang telefon dihempas kuat oleh ibunya. Anak awak? Ika tersentak mendengar ungkapan yang terkeluar daripada mulut ibunya. Kemudian, terlintas di fikirannya adakah dirinya itu adalah anak kepada Cikgu Kamal. Ahh! Tak mungkin perkara sebegitu berlaku. Ayahnya sudah meninggal sejak kecil lagi. Tetapi, dia tidak pernah melihat pusara ayahnya disemadikan. Jika setiap kali Hari Raya Aidilfitri menjelma, dia tidak pernah membacakan al-Fatihah dan surah Yasin di tepi kubur ayahnya. Malah,wajah ayahnya juga tidak pernah ditatap walaupun di dalam gambar.
Dalam diam-diam, Ika berjalan perlahan-lahan ke arah ibunya. Tanpa disedari ibunya, Ika telah mendengar perbualan antara ibunya dengan Cikgu Kamal.
“Awak jangan nak mengaku yang Ika tu anak awak! Dulu awak buat tak pernah ambil tahu tentang saya dengan Ika. Makan minum, sakit pening saya anak beranak awak tak pernah ambil kisah. Tapi kenapa baru sekarang awak nak mengaku yang Ika tu anak awak. Kenapa bila dia dah besar baru awak nak ambil dia balik?” kata Ibu sambil teresak-esak menangis.
Hati Ika berdebar-debar kencang. Air matanya mula menitis. Sah, Cikgu Kamal adalah ayahnya. Ayah yang dikatakan telah mati oleh ibunya. Segalanya kini telah terungkai. Rahsia ibunya tentang di mana ayahnya dahulu telah terbongkar. Sampai hati ibu membohongi dirinya selama ini. Ayah yang masih hidup dikatakan telah mati. Hancur hati Ika apabila mengetahui ibunya berbohong kepada dirinya.
“Ibu…”
“Haa…” jawab Ibu terkejut lalu meletakkan telefon.
Ika menangis sepuas-puasnya di depan ibu. Ibunya hanya mampu terdiam meliha anaknya menangis. Dia tahu, pasti anaknya sudah mendengar segala perbualannya tadi dan yang paling penting anaknya itu sudah mengetahui rahsia yang disembunyikan selama ini.
“Err… Ika… Ma… Maafkan ibu Ika.” ujar ibu.
“Ibu penipu! Ibu bohong Ika! Sanggup ibu bohong Ika…’ jerit Ika.
“Ika, jangan buat macam ni kat ibu Ika. Ibu tahu, ibu salah, ibu minta maaf Ika.” rayu Ibu.
“Kenapa ibu cakap ayah dah mati? Kenapa ibu? Kenapa?” tanya Ika.
Kemudian, ibu terus memeluk Ika erat-erat. Dia tidak mahu kehilangan orang yang paling disayanginya itu. Cukuplah dahulu dia kehilangan seorang suami. Orang yang diharapkan memberi kasih sayang dan pelindung kepadanya tetapi sanggup meninggalkan dirinya apabila diperlukan.
Namun kini, orang yang telah lama terpadam di dalam hatinya sekian lama telah kembali. Kembali untuk menebus dosa-dosa yang telah dilakukan dahulu. Tidak mungkin orang yang pernah melukakan hatinya dahulu diterima kembali. Tapi, jika orang yang betul-betul ingin menebus kesalahannya dahulu, tidak salah diberi peluang kedua.
“Ani, abang minta maaf Ani. Abang tahu, abang tersilap buat keputusan masa dahulu. Maafkan abang Ani.” Rayu Cikgu Kamal.
“Kenapa baru sekarang abang nak sedar kesilapan abang? Abang tak pernah ambil tahu tentang Ani dengan anak-anak dulu. Susah senang Ani anak beranak abang tak pernah ambil berat. Ani kecewa abang. Kecewa dengan sikap abang dahulu.” ibu meluahkan perasaannya.
“Abang sedar, abang terlambat untuk sedar kesilapan yang pernah abang buat. Ani, tolong maafkan abang. Berilah peluang kedua untuk abang tebus balik kesilapan abang.” pinta Cikgu Kamal.
“Emm…”
“Ani, abang teringin sangat nak tengok anak kita membesar depan mata. Ani, kalau Ani setuju, abang teringin sangat nak…”
Ika tersenyum simpul apabila melihat Cikgu Kamal atau sekarang ayahnya, menyarungkan cincin ke jari manis ibunya. Hatinya berbunga riang tatkala melihat ibu dan ayahnya kembali bersatu. Harapannya untuk menikmati suasana keluarga bahagia di samping ibu bapa kini menjadi kenyataan. Kisah duka semalam perlu dibuang jauh demi mencari sinar di masa akan datang.
“Ibu! Ayah! Cepatlah siap. Ika dengan kakak dah tak sabar nak pergi ni.” jerit Ika.
“Hissh… anak awak ni tak sabar-sabar nak pergi. Rindu nak jalan-jalan dengan ayahnya la tu.” ujar ibu sambil tersenyum manja ke arah ayah.
“Hehehe… biarlah. Abang pun dah tak sabar nak bawa anak kita jalan-jalan. Tapi yang paling penting, abang dah lama tunggu masa nak bawa Ani honey moon kali kedua. Hehehe…” ujar ayah.
“Emm? Hehehe…” ibu tertunduk malu.
“Eh… dah lambat ni. Marilah kita pergi sekarang. Kasihan kat anak kita tu.”
“Baiklah abang… mari.” ujar ibu.

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha 135LC 5 Speed 2011 Malaysia

Casio Retro Watch. -Suatu Penantian Yang Lama-

Barang Made In ???