PENEKANAN KONSEP 5P

Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menekankan konsep penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan
penilaian. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

a. Penggabungjalinan
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran
dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan,
sama ada kemahiran yang terdapat dalam hasil pembelajaran atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

b. Penyerapan
Dalam pengajaran Bahasa Melayu, unsur ilmu, nilai dan kemahiran bernilai tambah seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara
belajar, kajian masa depan boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dan disiplin dalam pelbagai mata pelajaran.

c. Pengayaan
Program pengayaan perlu diberikan penekanan dalam Kurikulum Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi
kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid hendaklah diberikan bahan yang berbeza untuk digunakan secara bersendirian atau
dengan bimbingan guru. Bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad, permainan dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang
telah menguasai kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

d. Pemulihan
Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang
ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan
secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan
murid menguasai sesuatu kemahiran.

e. Penilaian
Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan sesuatu aktiviti untuk
mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian
perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan
jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan, dan
setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid.

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha 135LC 5 Speed 2011 Malaysia

Casio Retro Watch. -Suatu Penantian Yang Lama-

Barang Made In ???