Rimas...Rimas...Rimas..!
Bagi makan ikan memang best!
Di dalam kehidupan, manusia mempunyai pelbagai ragam. Ada yang biasa-biasa, ada yang hebat dan ada yang pelik. Sebab kenapa Tuhan jadikan macam tu? Sebab kalaulah semua manusia sama, tak ke haru dunia ni? Semua minat nak jadi arkitek, habis siapa nak jadi guru? Siapa nak jadi doktor? Siapa nak jadi tukang kebun? Ataupun semua orang minat mengumpul setem, tak ke bosan?
Teringat kata-kata seorang rakan aku semasa sekolah dulu, kalau semua nak pandai, siapa yang nak bodoh? Kadang-kadang aku rimas dengan kehidupan. Rimas dengan tekanan sekeliling yang mahukan 'kalau boleh kitalah yang terhebat!', 'kalau boleh kitalah insan yang berguna!', 'kalau boleh kitalah orang yang berilmu!, 'kalau boleh kitalah generasi yang seimbang dari segi segala segi!'. Kita terlalu rakus untuk menjadi sempurna dan terbaik.
Aku tak tahu lah apa yang tak kena pada diri aku. Jika pada diri orang lain, berusaha menjadi yang terbaik, terhebat, dihormati, aktif dan sebagainya merupakan matlamat hidup. Bagi aku, cukuplah aku bahagia dengan hidup aku dan bersederhana. Aku tidak bermotivasi dalam memajukan diri? Tidak! Aku bukan tidak bermotivasi cuma aku mahukan kehidupan yang sederhana dan bahagia. Kehidupan yang mampu membuatkan aku senyum, ketawa dan selesa.
Mungkin aku menulis kenyataan ini akibat tersepit di celah-celah orang yang begitu bersemangat mengejar kejayaan dalam bidang yang diceburi sedangkan aku sebenarnya tersalah pilih dengan bidang yang aku hadapi sekarang. Kalaulah aku seorang yang berani mengambil risiko, sudah tentu aku buat sesuatu supaya dibuang IPG seperti seorang dua rakanku. Tapi aku sedar aku cukup mentah dalam kehidupan. Masih tidak berupaya berdiri sendiri memajukan diri. Dan sekarang, aku mengambil keputusan, aku tetap belajar di IPG, cuba ikut segala yang telah ditentukan dan akan bergelar guru setahun dua lagi. Kemudian, barulah aku fikirkan apakah langkah seterusnya untuk 'memuaskan kehendak diri dan cita-cita utama'.
Yang membuatkan aku bertambah tersepit adalah....bangun pagi sampai malam terpaksa menghadapi manusia-manusia yang berkejar-kejar, manusia yang seperti robot, manusia yang seperti hidupnya terlalu bersemangat. Aku faham, aku kena belajar memahami minat orang. Atau sebenarnya ini hanya perasaan aku apabila berhadapan dengan situasi yang aku tidak suka. Atau dengan kata yang senang, kau yang salah Ayisy bukan orang lain yang salah. Buang sedikit ego, hurmmm....memang betul pun. Kau yang salah Ayisy. Dah tak minat kau salahkan orang lain. Hahaha!
Entahlah... Yang penting sekarang, aku belajar mengawal diri. Belajar menangani kesusahan. Sabar. Mungkin ada kebahagiaan akan menanti disebalik kesusahan ini. Hadapi kenyataan dan senyum... Bersyukurlah.
Comments